Wednesday, December 26, 2012

Anak penjual ikan pelajar cemerlang KTB

KUALA TERENGGANU 25 Dis. - Amalan belajar secara bijak yang dilakukan oleh Aemilya Wahab, 21, membolehkan dia menerima Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen Kolej Tek nologi Bestari (KTB) kali ke-5 di Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Bagi pelajar Diploma Pengajian Perniagaan itu, dia tidak menyangka sama sekali akan dipilih untuk menerima anugerah tertinggi pada konvokesyen tersebut.

Anak kepada penjual ikan di Kemaman itu menyifatkan kejayaannya sebagai pengiktirafan membanggakan walaupun tidak pernah meletakkan harapan terpilih sebagai pelajar terbaik.

Beliau yang berjaya mendapat gred purata terkumpul (CGPA) 3.8 itu bercita-cita menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang yang sama memandangkan minatnya terhadap bidang ekonomi.

Pada konvokesyen itu, seramai 204 pelajar menerima sijil dan diploma masing-masing daripada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Othman Mustapha.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif KTB, Datuk Tengku Mahmud Mansor.

Aemilya turut menerima Anugerah Graduan Cemerlang yang berjaya mendapat CGPA 3.6 ke atas.

Lima yang lain turut menerima anugerah itu ialah Norazreen Suwaibah Che Lah (Diploma Kewangan dan Perbankan), Siti Sharifah Dahlia Deli (Diploma Teknologi Maklumat), Nurul Emiliana Marzuki (Diploma Teknologi Maklumat), Julifah Arul Bahari (Sijil Pengurusan Perniagaan) dan Mohd. Azlan Harun (Sijil Sains Komputer).
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment