Wednesday, December 26, 2012

Tidak segan bertanya jadikan Mohd. Azizi pelajar cemerlang KTB

SETIU 29 Okt. - Belajar secara berkumpulan serta tidak segan bertanya berhubung sesuatu masalah dengan pensyarah menjadi punca kejayaan bagi Anugerah Keseluruhan Pelajar Cemerlang Kolej Teknologi Bestari (KTB) 2009, Mohd. Azizi Sahardin, 24,.

Melalui perbincangan dengan rakan-rakan, Mohd. Azizi yang berasal dari Muar, Johor itu mendapati ia dapat menyelesaikan sebarang masalah dalam bidang akademik.

Pelajar Diploma Pengurusan Hotel itu merupakan antara 104 pelajar KTB dari pelbagai jurusan menerima anugerah di Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa hari ini.

Para mahasiswa terbabit menerima anugerah itu dari kategori Anugerah Ketua Jabatan, Ketua Eksekutif adalah terdiri 14 pelajar Diploma Kejururawatan, 16 pelajar (Jabatan Sains Komputer), 50 orang (Jabatan Ekonomi Pengurusan) dan 25 pelajar (Hal Ehwal Pelajar).

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif KTB, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif KTB, Ibrahim Husin.

Mohd. Azizi yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumpulan (PNGK) 3.8 berkata, perbincangan secara berkumpulan juga secara tidak langsung dapat menambah pengetahuan lain sedikit sebanyak dapat membantu pecapaian pelajaran yang dipelajari semasa di kolej itu.

''Saya juga tidak malu bertanya dengan pensyarah di kolej ini mengenai sesuatu perkara yang tidak tahu samaada di dalam kelas ataupun diluar kelas.

''Dengan sikap sedemikian kita tidak akan rugi sebaliknya dapat menyelesaikan sebarang masalah yang kita tidak fahami berbanding ada dikalangan pelajar lain yang segan bertanya dengan pensyarah mereka," kata Mohd. Azizi yang merupakan anak sulong daripada empat adik beradik.

Dalam pada itu, Ibrahim ketika ditemui berkata, anugerah yang diadakan itu bagi memberi penghormatan terhadap para pelajar KTB yang cemerlang dalam pelbagai bidang akademik.

Katanya, program berkenaan juga meliputi kursus yang diadakan dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_06.htm#ixzz2G8PzEPLy 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment