Wednesday, April 8, 2015

UC Bestari Bakal Universiti Wakaf Pertama Di Malaysia

SETIU, 11 Nov (Bernama) -- Kolej Universiti Bestari (UCB) di Bandar Permaisuri di sini, bakal menjadi sebuah universiti wakaf pertama di Malaysia khusus untuk anak yatim dan pelajar miskin.
Sehubungan itu, UCB akan menawarkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) mulai tahun depan serta memperkenal dua fakulti baharu dalam usaha mendapatkan status sebagai universiti penuh menjelang 2016.


Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UCB, Prof Madya Ahmad Suhaily Mohd Salleh berkata sebagai permulaan, pengajian peringkat PhD ditawarkan untuk pelajar Pengurusan Perniagaan, Sains Sosial, Teknologi Maklumat dan Pengajian Islam. "Manakala dua fakulti baharu ialah Pengajian Islam dan Pertanian dan Pengurusan Ladang kerana sumber kewangan menguruskan UCB datangnya daripada hasil perniagaan dalam perladangan kelapa sawit, jadi kita mahu pelajar meneruskan legasi itu," katanya kepada Bernama hari ini. Sehingga kini, UCB mempunyai kira-kira 1,500 pelajar dengan 70 peratus adalah anak yatim dan pelajar miskin serta pelajar yang tinggal di luar bandar. UCB yang diuruskan sepenuhnya oleh Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) kini menawarkan 20 kursus peringkat asasi, diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana.
Dengan 150 kakitangan akademik dan 50 kakitangan bahagian pentadbiran dan sokongan, UCB yang ditubuhkan sejak 1998 semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan asnaf dan fakir miskin serta anak yatim untuk melanjutkan pengajian mereka di situ.

Mengulas lanjut, Ahmad Suhaily berkata UCB juga akan menambah kemudahan asrama untuk menampung antara 2,500 dan 3,000 pelajar dalam satu masa berbanding 1,500 penghuni asrama pada masa ini."Ia (kemudahan asrama) antara kriteria yang diperlukan untuk mendapatkan status sebagai universiti penuh," katanya.Beliau berkata baru-baru ini, UCB mendapat kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk melakukan jualan wakaf bagi 120 hektar tanah miliknya untuk memberi peluang kepada umat Islam berwakaf."Harga wakaf ialah RM30 untuk satu kaki persegi dan setakat ini sebanyak 30 peratus sudah berjaya diwakafkan hasil sumbangan orang ramai. Hasil jualan wakaf ini akan kita gunakan untuk membangunkan UCB agar lebih ramai golongan asnaf yang layak dapat manfaat," kata Ahmad Suhaily.Terbaru, UCB menjalin kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk memberi keutamaan kepada peserta AIM menghantar anak mereka ke kolej universiti berkenaan.

"Kita berikan pendidikan, menanggung makan minum secara percuma sehingga pelajar itu mendapat tajaan untuk pengajian mereka. Dengan sokongan semua pihak, saya yakin UCB bakal menjadi pusat pendidikan terulung yang dapat melahirkan ramai ilmuan dalam kalangan anak yatim dan fakir miskin," katanya.

http://www.bernama.com/

No comments:

Post a Comment