Susuk tubuh tinggi dan duduk menikmati kopi panas mungkin tidak memberikan petanda watak Hassan Muthalib.
Namun, di sebalik rambut putih, Hassan, 71, sebenarnya ikon yang patut menjadi wira dalam fon masing-masing bukannya K-pop atau Raver.
Jika ditanya generasi milenial sekarang, pastinya ramai angkat kening apabila mendengar namanya lagi-lagi apabila disorotkan dengan animasi Sang Kancil dan Monyet, lagilah tidak tahu agaknya.
Ya, Hassan Muthalib adalah bapa animasi negara yang kekuatannya bukan pada animasi itu saja tapi bayangkan proses pembikinannya yang rumit dan renyah 30 hingga 40 tahun dulu.
Duduk semeja dengan beliau yang penulis panggil Pak Hassan, ada sejarah teknologi animasi patut ditulis di samping memperoleh idea daripada orang lama berpengalaman luas dalam industri kreatif ini.
Jika dikaitkan dengan animasi tempatan, golongan milenial mungkin sebati dengan karakter Upin & Ipin, Boboiboy, Ejen Ali atau Didi and Friends meskipun cerita di sebaliknya boleh dikatakan pengasas watak terbabit juga memandang tinggi Pak Hassan sebagai pelopor animasi yang bukan saja kreatif malah boleh memberi idea yang berimpak tinggi sepanjang zaman.
Pak Hassan mendedahkan detik awal animasi yang boleh dikatakan tidak sengaja ketika mula berkarier dalam Filem Negara Malaysia.
“Animasi bermula pada 1972 dan ia pertama kali membabitkan iklan Krismas.
“Ketika itu, tiada sesiapa yang mempunyai pengalaman dalam bidang animasi namun saya masih ingat ketua pengarah datang dan minta reka satu animasi.
“Disebabkan ia arahan, saya tidak menolaknya, kenalah buat. Lama juga memikirkan bagaimana untuk melakukannya namun saya mula belajar dan membuat penyelidikan,” katanya.
Katanya, ‘storyboard’ pertama ditolak dan pihak atasan meminta beberapa karakter ditukar. Meskipun berdepan cabaran terbabit siapa sangka ia pemula filem animasi negara.
Perubahan bahagian pada 1981 menyaksikan Pak Hassan ditempatkan di Unit Seni Reka dan pada 1983 dua individu untuk Kementerian Penerangan dan Filem Negara Malaysia melihat potensi animasi dalam negara.
“Animasi pertama bermula pada 1961 dan hanya siap pada 1978 iaitu Hikayat Sang Kancil namun hanya ditayangkan pada 1983 atas faktor politik,” kata Hassan.
Penciptaan animasi pula bukan lahir daripada individu yang pakar dalam animasi namun seorang pereka set, Ananda Xavier yang mereka lukisan sedikit demi sedikit.
“Selepas mendapat arahan pada 1983, kita kumpulkan satu pasukan yang masing-masing bukan dalam kalangan juruanimasi.
“Saya yang boleh menulis dan mengarah kemudian saya maklumkan, kami sama-sama cipta karakter.
“Mereka semua hanya pereka dan bukan juruanimasi tapi masing-masing ikut arahan,” jelas Pak Hassan yang mantap ketika melontarkan idea kepada peserta Persidangan Kandungan Kreatif Asia Tenggara 2017 (Kre8tif!) baru-baru ini.
Katanya, animasi Hikayat Sang Kancil dan Monyet berjaya disiapkan pada 1984 melalui penceritaan terus hasil terjemahan daripada sebuah buku.
“Kami mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan Hikayat Sang Kancil dan Monyet yang ditayangkan ketika musim perayaan pada 1984 sebelum merancang pula Hikayat Sang Kancil dan Buaya.
“Animasi berikutnya berevolusi dengan teknik berbeza apabila animasi ‘Gagak yang Bijak’ mampu ditayangkan selama dua setengah minit menggunakan helaian kertas serta teknik kamera menegak,” katanya.
Uniknya, Pak Hassan memaklumkan, meskipun jurukamera ketika itu tidak mempunyai asas animasi namun bijak menyusun lensa kamera yang menghidupkan karakter dengan membolehkan rakaman dilakukan hanya pada helaian kertas.
“Cara rakam kamera animasi perlu teknik yang mana seorang jurukamera yang pintar mampu melakukannya.
“Kamera animasi berbentuk roket dengan kolum khas di atas meja,” katanya.
Jelasnya, kamera boleh diangkat, diturun dan dipusing dengan setiap pergerakan mempunyai nombornya tersendiri.
“Kami perlu rancang lukisan awal untuk menjadikannya serasi dengan meja manakala kiraan mengikut masa yang tepat dengan graf tertentu mempunyai catatan melambangkan setiap ‘pointer’.
“Setiap kelajuan atau pergerakan memerlukan penelitian khusus pada graf terbabit,” katanya.
Berbeza dengan animasi moden, Pak Hassan menjelaskan ia boleh dilakukan hanya menggunakan perisian dan komputer saja.
“Sekarang mudah, semuanya di depan komputer namun yang membezakan adalah jalan penceritaan dan moral,” katanya.
Dulu, Pak Hassan dan pasukan terpaksa mengambil masa selama enam bulan hanya untuk menyiapkan animasi berdurasi lima minit.
“Ada satu kali, rakaman dilakukan tiga kali dengan setiap satunya mengambil masa empat jam hanya untuk mencipta aksi monyet melompat dari satu pokok ke pokok lain selama lima saat,” jelasnya.
Namun, Pak Hassan yang juga orang seni mampu mempamerkan kekuatan jalan cerita ringkas namun maksudnya mudah hadam.
“Nampak senang tapi latar belakang perlu dilajukan manakala pergerakan monyet perlu seimbang dan pokok dijadikan subjek bagi menjadikannya seakan-akan tiga dimensi (3D),” jelas Pak Hassan.
Seiring peredaran zaman ketika itu, Pak Hasaan membuat permohonan bagi mendapatkan kamera baru yang baru dihasilkan ketika itu.
“Ia adalah Quick Action Recorder yang sebenarnya membantu ujian ‘line’ bagi memeriksa lukisan dan kami memperolehnya pada 1984.
“Sudah tentu ia baik kerana mampu meringankan beban kerja dan memendekkan masa produksi selepas animasi dilakukan.
“Contohnya rakaman dibuat dalam tempoh lima minit, kita sudah tahu ia betul atau tidak.
“Kalau cara lama, kita hanya akan rakam pada filem sebelum ia dicetak kemudian ditayangkan, barulah tahu betul atau tidak jadi makan masa sehingga dua tiga hari,” katanya.
Sepanjang tempoh 1983 hingga 1987, Pak Hassan dan pasukan berjaya menghasilkan lima filem animasi.
Bapa animasi negara itu menganggap kekurangan terbabit sebagai cabaran dalam berkarya dengan menjadikan jalan cerita yang mantap sebagai kekuatan animasi.
“Itulah yang mengekang animasi negara merangkul anugerah antarabangsa namun memuji kesediaan negara jiran menerima animasi dengan konsep 3D,” katanya.
Pengalaman Hassan mencipta animasi tanpa teknologi. Hanya berbekalkan kamera penggambaran biasa dan helaian kertas untuk merakam.
Katanya, filem animasi perlu lebih mengetahui teknik menghasilkan filem animasi dahulu yang menggunakan teknik secara manual hingga penggunaan perisian komputer berteknologi tinggi.
Beliau berkata, bidang filem animasi mempunyai masa depan yang cerah dengan penggunaan teknologi digital canggih.
Namun, penggiat filem animasi perlu memantapkannya dalam penggunaan bahasa visual jika mahu menghasilkan filem animasi setaraf terbitan antarabangsa.
“Filem animasi kini ditayangkan di televisyen dan pawagam menggunakan teknologi digital dan skop penggunaan juga diperluaskan dalam bidang kejuruteraan, permainan maya serta perubatan,” katanya.
Pada era kegemilangan ini juga bermula penerbitan kartun tempatan dalam bentuk animasi sekitar 1984 hingga 1987 seperti Sang Kancil dan Monyet, Gagak Yang Bijak, Singa Yang Haloba serta Hikayat Sang Kancil dan Buaya terbitan Unit Filem Malaya yang kini dikenali sebagai Filem Negara.
Jika ramai yang mahu menjadi juruanimasi berjaya, Pak Hassan adalah guru yang paling hebat.
sumber :https://www.hmetro.com.my/itmetro/2017/08/254070/pak-hassan-bapa-animasi-malaysia
No comments:
Post a Comment