Sunday, October 22, 2017

ALUMNI UCBESTARI DIRAI

Oleh: Aminudin Ismail

Seramai 100 orang ahli alumni University College Bestari (UC Bestari) diraikan dalam Program Jalinan Mesra Alumni yang rasmikan oleh Naib Canselor UC Bestari, Prof. Dr. Ab Aziz Yusof di sebuah hotel di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Program yang julung kali diadakan oleh Unit Alumni, UC Bestari tersebut bertujuan merapatkan kembali ukhuwah yang pernah terjalin dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli alumni.
Ia juga satu titik permulaan kepada semua ahli alumni UC Bestari untuk turut sama menaikkan nama kolej universiti itu.
Prof. Dr. Ab Aziz, berkata, beliau berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran ahli-ahli alumni mereka dalam memajukan universiti tersebut pada masa akan datang.
"Sehingga 2016 dianggarkan lebih 1000 graduan telah dilahirkan sejak kolej universiti tersebut ditubuhkan menerusi tiga kali konvokesyen.
"Terima kasih kepada semua yang hadir dan ini adalah satu usaha yang baik ke arah bersama-sama untuk memajukan lagi UC Bestari," katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Sulaiman Yamin, dan pengurusan tertinggi UC Bestari.
Dalam pada itu, pada majlis itu juga ahli alumni, Pengurus Penerbitan Karya Seni Sdn Bhd, Dato’ Wan Mohd Muzri Ramli, menyumbangkan lebih 100 buah novel terbitan syarikat beliau kepada Alumni dan Universiti.
Program Jalinan Mesra Alumni UC Bestari berlangsung selama dua hari dan antara aktiviti yang dijalankan ialah perlawanan bola sepak persahabatan antara alumni lawan staf UC Bestari dan pertandingan bowling.

https://www.facebook.com/ImanTribune/posts/922703964534679

No comments:

Post a Comment