KENALI UC BESTARI
Sejarah dan latarbelakang UC Bestari
University College Bestari (UC Bestari) merupakan salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Merupakan Kolej Universiti pertama yang berusaha memartabatkan anak-anak melayu miskin, gologan PPRT(Program Pembangunan Rakyat Miskin) dan anak yatim seluruh Malaysia yang berkemampuan dalam bidang akademik untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru itu penubuhan Kolej Universiti Bestari yang tidak bermotifkan keuntungan semata-mata (non-profit making institution) tetapi lebih ke arah kebajikan ini cuba merealisasikan pembangunan keilmuan dalam arus perdana globalisasi negara supaya peluang pendidikan ini turut sama dikecapi oleh masyarakat luar bandar dan anak-anak yatim di seluruh negara.
Sejarah dan Kronologi Penubuhan
Kalau ditinjau dari aspek kronologi penubuhan University College Bestari ini, ia bermula dari kegiatan dan gerakan kumpulan yang terlibat dengan aktiviti kebajikan anak yatim Malaysia. Pada tahap pertama perjuangan mereka adalah berkonsepkan memberi perlindungan dan penjagaan kepada anak-anak yatim. Setelah melangkaui lebih 20 tahun mereka bergiat dalam perjuangan tersebut, mereka dapati untuk mencapai matlamat akhir perjuangan membela nasib anak-anak yatim sukar dicapai kalau hanya tumpuan pembangunan kanak-kanak terhenti pada aspek penjagaan dan pemeliharaan semata-mata. Dari itu kumpulan 'Think tank' PEYATIM yang diketuai oleh YM Dato' Dr. Tengku Mahmud bin Mansor telah merancang untuk membangun sebuah Kolej yang bermatlamat untuk menjadikannya sebagai satu saluran(outlet) kepada anak-anak yatim bagi medapat peluang pengajian tinggi sebaik mungkin, kerana dikalangan anak-anak yatim itu mempunyai kemampuan ke arah itu. Disamping itu, perubahan paradigma aktiviti-aktiviti di rumah anak-anak yatim itu mula berlaku dan mejurus kepada pembangunan pendidikan.
Sungguhpun pada peringkat perancangannya, penubuhan kolej ini semata-mata untuk menampung keperluan aliran bagi anak-anak yatim, tetapi mungkin aspek perluasan peluang kepada pihak-pihak lain perlu juga diberi, seperti anak-anak dari golongan Program Pembangunan Rakyat Termiskin(PPRT), anak-anak Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), anak-anak luar bandar dan sebagainya yang tidak dapat ditampungi oleh Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Dari itu, penubuhan UC Bestari ini terbukti memberi manfaat kepada semua pihak. Lantaran itu, usaha yang berani dan bijaksana ini perlulah diberi sokongan dari semua pihak dan segenap lapisan bagi menjayakan cita-cita pembangunan umat yang sebahagiannya tersisih dan tertinggal ini.
Ketika di awal penubuhannya pada tahu 1998, Kampus Kolej Universiti Bestari terletak di Kg. Saujana, Permaisuri Setiu Terengganu. Kampus yang disewakan dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu(YPKT) mempunyai kemudahan lengkap seperti 2 blok bangunan asrama, pejabat, bilik-bilik kuliah berhawa dingin, surau dan kafeteria, dan beroperasi sehingga tahun 2004. Kemudian berpindah ke kampus baru serba lengkap di Kg. Putera Jaya, 5 km dari Bandar Permaisuri.
Lokasi kampus sekarang ini sangat sesuai dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas. Suasana persekitaran yang dikelilingi oleh perkampungan sangat mendamaikan dan menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif. Di antara kemudahan yang disediakan ialah Bangunan Pentadbiran dan Akademik, Dewan Teater, 3 Blok asrama yang boleh memuatkan 2160 orang pelajar, surau, kafeteria, gelanggang sukan, dewan serbaguna dan banyak lagi. Terletak di pertengahan laluan jalan raya utama yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kota Bharu. Perjalanan dari pusat Bandaraya Kuala Terengganu sejauh 65km hanya memakan masa lebih kurang 1jam. Para pelajar juga boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas(K.Terengganu - jertih) dengan kekerapan perjalanan setiap 1 jam. Bagi pelajar yang memerlukan pengangkutan ke luar Terengganu, stesyen bas Pemaisuri menyediakan kaunter tiket perjalanan ke hampir semua destinasi ke seluruh tanah air.